Sunday, July 14, 2013

Surat Cinta...

Salam...

Tiba-tiba hati terdetik saat tafsir Al-Quran masih ditangan, 'mampukah aku untuk masuk ke syurgaMu'. Aku teringat kembali perjalanan hidupku selama 24 tahun ini. Banyak perkara yang aku lakukan ada baik dan ada juga buruk. Aku menutup tafsir Al-Quran dan meletakkannya di rak meja belajarku. Kakiku melangkah lemah menuju ke katil. Aku mencapai bantal yang setia menemaniku. Aku mula mengingat kembali perkara-perkara yang lalu yang telah aku lakukan. Air mata satu persatu menitis kepipiku. Sehinggalah aku tertidur didalam tangisan di pagi hari.

Aku terjaga sebaik mendapat panggilan daripada mereka yang aku sayang. Aku menjawab dengan suara yang cuba dikawal bagi mengelakkan dikesan oleh mereka yang aku baru bangun tidur. Mereka bertanya khabarku dan ucapan panjang umur diluahkan oleh mereka. Saat itu aku berasa sangat gembira. Ingin sahaja rasanya untuk balik ke rumah mendakap kedua orang tuaku. Betapa sayangnya mereka kepadaku tidak mampu untuk aku balas dan luahkan dengan kata-kata.

Aku terus bangun, terasa semangat untuk menghabiskan semua kerja yang masih tertangguh supaya aku dapat pulang kepangkuan keluargaku secepat mungkin. Saat diri sedang mencari-cari bahan kerjaku, aku terpandang jam di laptopku. 'telah masuk waktu duhah' detikku didalam hati. Aku tinggalkan kerjaku seketika dan kakiku langkah menuju ke bilik air. Wuduk diambil dan solat duhah didirikan.

Selesai menunaikan solat duhah hati sekali lagi terdetik untuk melihat maksud surah yang dibaca oleh imam masjid sewaktu tarawih semalam. Tafsir Al-Quran sekali lagi berada ditanganku. Aku menyelak juzuk 5 iaitu surah an-nisaa'. Satu persatu maksud ayat itu aku baca sehingga aku terkaku pada satu ayat ini...

Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu, dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga). 
(Surah An-nisaa', ayat 31)

Aku meneruskan bacaanku dengan ayat-ayat seterusnya dan sekali lagi mataku terkaku pada satu lagi ayat didalam surah yang sama. Berulang-ulang kali aku membacakan maksud ayat itu sehingga air mata ini sekali lagi mengalir.

Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah (amal yang seberat zarrah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisiNya, pahala yang amat besar.
(Surah An-nisaa', ayat 40)

Aku tertanya-tanya, adakah ini jawapan untuk soalanku pada pagi hari tadi?

Ya Allah, terima kasih kerana menggembirakanku dengan ayat-ayatMu... 
Wassalam...

(I love everyone, everyone love me...)

No comments:

Post a Comment